Pulau Langkawi akan mula dibuka kepada pelancong dari seluruh negara yang memenuhi kriteria SOP bermula 16 September 2021 ini. Mereka bagaimanapun perlu memohon kebenaran daripada PDRM terlebih dahulu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, pelancong dari negeri yang berada dalam Fasa 1 juga turut dibenarkan berkunjung ke Pulau Langkawi kecuali mereka yang berada di kawasan PKPD.
“Langkawi boleh mula dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
“Walaubagaimanapun, kebenaran ini tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” ujarnya.
Menurutnya, para pelancong boleh memilih untuk menggunakan jalan udara dan darat bagi memasuki Pulau Langkawi.
“Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.
“Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” jelasnya.
Sumber: Bernama TV