R4mai Keliru Boleh Makan D4kwat Sotong Atau Tidak, Ini Penjelasannya

HIDANGAN sotong sememangnya menjadi antara sajian kegemaran rakyat Malaysia. Tidak kiralah dalam apa jua jenis masakan sekalipun. Semuanya bergantung kepada cita rasa masing-masing.

Segelintir orang gemar memasak sotong sekali dengan dakwat yang ada padanya. Tindakan itu bagaimanapun dipertikaikan orang kerana dakwat sotong dikatakan najis dan haram dimakan.

Menjelaskan perkara itu, agamawan, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengakui para ulama berbeza pandangan tentang isu dakwat sotong.

Para ulama Syafi’iyyah misalnya, menghukumkan cairan hitam yang keluar daripada sebahagian haiwan laut adalah najis, jelasnya.

Malah, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Kelima Penggal Kesembilan yang bersidang pada 7 Disember 2011 bersetuju mengekalkan keputusan fatwa yang telah dibuat oleh Allahyarham Syed Yusuf bin Ali Az-Zawawi (mufti pada tahun 1953-1975) iaitu pasi atau dakwat sotong adalah najis kerana cecair tersebut kotor dan berbau busuk jika dibiarkan lama.

Fatwa tersebut turut menyebut, cecair berkenaan juga termasuk dalam kategori bahan kumuhan binatang dan orang yang mempunyai selera yang normal tidak akan memakan cecair (pasi) tersebut.

Bagaimanapun, Dr Zulkifli  menjelaskan, terdapat perbezaan pandangan yang dikemukakan oleh Kiai Haji Thoifur Ali Wafa dari Indonesia.

Kiai Haji Thoifur menjelaskan: “Cairan hitam yang ditemukan pada sebahagian jenis haiwan laut merupakan antara persoalan yang diperselisihkan apakah termasuk kategori cairan yang keluar daripada bahagian dalam maka ia najis, atau bukan daripada bahagian dalam maka ia suci.

“Hendaklah orang yang berakal (berkeahlian) agar menelitinya kerana ia berkait rapat dengan apa yang dilihat.

“Aku berkata: Cairan hitam ini jika memang berasal daripada bahagian dalam, maka ia menyerupai muntah. Maka ia najis. Jika tidak, ia menyerupai air liur. Maka hukumnya suci.

“Sebahagian guruku pernah berkata: Cairan hitam ini merupakan sesuatu yang diciptakan oleh ALLAH pada haiwan yang memilikinya untuk dijadikan perisai agar dapat berlindung dari makhluk laut yang lebih besar. Ketika terdapat makhluk laut besar yang akan memakannya, ia akan mengeluarkan cairan hitam ini agar dapat berselindung dengannya. Maka cairan hitam ini tidak dapat disamakan dengan muntahan ataupun air liur, sebab cairan hitam ini adalah sesuatu yang menjadi ciri khasnya ini, sehingga dihukumi suci. Wallahua’lam.” (Bughah al-Thullab)

Sementara itu, jelas Dr Zulkifli, dakwat hitam sotong atau cephalopod ink bukannya bahan kumuhan atau darah. Beliau merujuk fakta itu daripada laman web https://www.webmd.com/diet/what-is-squid-ink#1.

“Laman web itu menjelaskan bahawa dakwat berkenaan dikeluarkan daripada kantung dakwat (ink sac) di dalam badannya, tetapi luar dari perut, melalui saluran siphon sebelum keluar dari badannya untuk menakutkan dan mengalih perhatian lawan. Maka, ia bukan najis,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com baru-baru ini.

Jika diteliti, agamawan itu menjelaskan, tiada sebarang nas syarak yang melarang kita daripada memakan dakwat sotong berkenaan. Justeru, ia kembali kepada asal sebagaimana kaedah fiqh menyebut ‘Asal pada sesuatu adalah harus sehinggalah terdapatnya dalil yang mengharamkannya’.

ALLAH SWT berfirman bahawa memakan haiwan laut adalah halal sebagaimana disebutkan dalam Surah al-Maidah, ayat 96.

Rasulullah SAW bersabda: “Airnya suci dan bangkainya pun halal…” (Riwayat at-Tirmizi)Berdasarkan perbahasan tersebut, Dr Zulkifli secara peribadi cenderung kepada pandangan yang menghalalkan dakwat sotong tanpa mengurangkan rasa hormat kepada para ulama yang mengharamkannya.

“Terpulang untuk mengikut salah satu pandangan di atas tanpa menyalahkan antara satu sama lain.

“Seandainya ia dianggap sebagai najis dan bukan kebiasaan untuk memakannya, maka tinggalkanlah.

“Jika kita menganggapnya sebagai suci dan lazim dimasukkan ke dalam masakan, silakan. Ketahuilah, hukum bagi perkara ini adalah bergantung kepada ‘uruf (adat setempat) sebagaimana kaedah fiqh yang masyhur iaitu adat dijadikan dasar bagi menetapkan hukum,” jelasnya

Sumber : Sinar Harian

About admin

Check Also

Kes Basik4l Lajak: Kerani Wanita Dibeb4skan Dengan Jamin4n Sementara Rayuan Didengar

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) — Seorang kerani wanita yang ditahan di penjara atas kesalahan memandu …

Leave a Reply

Your email address will not be published.