Perak sedia temp4t ‘Rehat d4n Rawat Rider

IPOH – Perak kini memiliki tempat Rehat dan Rawat Rider dikenali 3R yang pertama di Malaysia.

Usaha digerakkan kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu adalah sebagai penghargaan kepada hampir 3,000 penghantar makanan di sekitar Ipoh yang memainkan peranan penting sebagai kumpulan barisan hadapan sejak pandemik Covid-19 bermula pada tahun lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Perak Fasa 5, sebanyak tujuh 3R telah dibina membabitkan peruntukan RM500,000.

Menurutnya, setiap pusat itu disediakan lengkap dengan kemudahan ruang rehat, solat, tandas dan wifi secara percuma untuk dijadikan tempat berteduh penghantar makanan sepanjang tempoh bertugas.

“Kita amat berbangga apabila MBI menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang dapat merealisasikan 3R ini.

“Dengan inisiatif yang diusahakan ini, kita berharap dapat memberi kemudahan yang diperlukan rider-rider kerana kita tahu mereka juga adalah sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat sepanjang pandemik Covid-19 ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan 3R Pusat Bandar yang terletak di sebelah Bangunan MBI di sini pada Khamis.

Hadir sama ialah Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Enam lagi lokasi 3R adalah di Meru Raya, Jelapang, Medan Gopeng, Klebang, Station 18 dan Taman Ipoh.

Nolee Ashilin berkata, setakat ini empat 3R telah siap sepenuhnya manakala tiga lagi iaitu di Klebang, Station 18 dan Taman Ipoh dalam peringkat akhir kerja-kerja pembinaan yang dijangka boleh beroperasi pada awal Oktober depan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersedia untuk memperluaskan program 3R itu ke daerah lain, namun bergantung kepada keperluan PBT masing-masing.

“Di daerah lain, jumlah rider itu tidaklah seramai di bandar Ipoh ini. Jadi kita akan lihat secara berperingkat sekiranya ada keperluan, namun kita sedia bawa perkara ini kepada perhatian kerajaan negeri dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja penghantar makanan, Farhan Zai, 29, menyambut baik usaha dilakukan kerajaan negeri dan MBI dengan menyediakan kemudahan 3R itu kerana boleh dijadikan tempat berkumpul dan berehat.

Katanya, sebelum ini mereka menjadikan kaki lima kedai dan pekarangan premis sebagai tempat berteduh sehingga mengundang kritikan orang ramai.

“Kerja sebagai penghantar makanan ini mengikut syif. Ada juga yang sanggup bekerja maksimum 14 jam dari 8 pagi hingga 10 malam.

“Sebab itu ada ketikanya keadaan di satu-satu tempat itu jadi sesak dengan rider. Itu belum dikira apabila hujan. Jadi apabila ada 3R ini, kami sangat bersyukur dan berterima kasih kerana tempatnya lebih selesa lengkap dengan kemudahan lagi,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

About admin

Check Also

Kes Basik4l Lajak: Kerani Wanita Dibeb4skan Dengan Jamin4n Sementara Rayuan Didengar

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) — Seorang kerani wanita yang ditahan di penjara atas kesalahan memandu …

Leave a Reply

Your email address will not be published.