Kuala Lumpur: “Paling seronok apabila anugerah ini diperoleh semasa hidup. Saya bersyukur kerana dapat anugerah ini. Ia benda yang saya tak pernah terfikir,” kata pelakon veteran Fauziah Nawi yang menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman dalam Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam ini.
Fauziah, 68, berkata, anugerah ini turut didedikasikan buat anaknya yang juga pengarah, Allahyarham Mohd Firdaus Mohd Hanif atau Pitt Hanif yang meninggal dunia pada Oktober 2019.
“Masuk dalam bidang ini hati kena keras kerana ini pilihan yang saya buat. Malah cucu saya (anak sulung Pitt) juga dah masuk kolej ambil jurusan filem.
“Kalau boleh saya tak nak dia ambil bidang itu kerana susah, dia kata ada minta jurusan lain tapi dapat jurusan filem juga. Dia memang nak jadi macam ayahnya. Cucu yang kedua pun dah berjinak dalam lakonan. Mereka bermula dari kecil dan saya harap kerjaya lakonan zaman mereka nanti akan lebih baik,” katanya.
Menurut Fauziah, pembabitannya sebagai pelakon amat bermakna kerana dapat membantu ibu bapa selain dapat menyara adik-beradik belajar di luar negara,” katanya.
Sumber : HM