Isteri mohon henti se4ar punca kematian suami akib4t dos penggalak

TULAR dalam media sosial baru-baru ini satu kejadian melibatkan seorang lelaki yang meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang bersarapan di sebuah restoran.
Menerusi gambar yang turut tersebar dalam aplikasi mesej WhatsApp itu, lelaki berkenaan didakwa baru sahaja mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.
Berita tidak benar itu terus tersebar dan isterinya tampil memberi kenyataan dan meminta orang ramai supaya menghentikan menyebarkan berita palsu yang kononnya pengambilan dos penggalak menjadi punca atau penyebab kematian suaminya.
Ini sebagaimana memetik berita Harian Metro yang melaporkan Rabunah Abdu Rashid, 49, isteri Hamsan Hashim, 54, yang memberi kenyataan jelas terhadap hal tersebut.
5 Tahun Sakit Jantung
“Suami saya memang ada penyakit jantung dan darah tinggi. Kematian dia bukanlah disebabkan dos penggalak seperti dakwaan tular itu,” kata Rabunah.
Hamsan yang juga pekerja kilang di Shah Alam meninggal dunia ketika menikmati sarapan di sebuah restoran di Bukit Sentosa.
Tular di media sosial mendakwa kematian Hamsan disebabkan serangan jantung dan baru sahaja selepas mengambil dos penggalak.
Rabunah berkata, dia hanya mengetahui mengenai dakwaan itu selepas dihubungi pegawai penyiasat kes berkenaan kira-kira jam 4 petang.
“Sebelum kejadian, suami memaklumkan dia mahu bersarapan dengan rakannya di restoran berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah kami sebelum pergi ke tempat kerja.
“Kira-kira jam 7.15 pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang yang memaklumkan suami saya pengsan di restoran terbabit sebelum saya bergegas ke sana.
“Sebaik tiba, saya melihat suami sudah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, pada Rabu.
Tiada Sebarang Simptom
Dia yang juga suri rumah berkata, suaminya menghidap penyakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan menjalani pemeriksaan perubatan setiap bulan di Hospital Selayang.
“Suami saya memang baru sahaja mengambil dos penggalak pada 12 Januari lalu, namun dia tidak mengeluh atau menunjukkan mengalami sebarang simptom serius kecuali lenguh pada bahagian tangan.
“Apabila saya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai dakwaan itu, saya amat terkejut kerana saya tidak pernah menyatakan dalam laporan kematian suami ada kaitan dengan dos penggalak,” katanya.
Dia meminta orang ramai supaya menghentikan menyebarkan berita palsu berkenaan kerana pengambilan dos penggalak bukan penyebab kematian suaminya.
“Saya minta mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini supaya berhenti berbuat demikian. Saya dan keluarga termasuk tiga anak berusia antara 13 hingga 20 tahun reda dengan pemergian suami,” katanya.
Menurutnya, jenazah Hamsan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Beruntung kira-kira 3 petang Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7 pagi.
“Pemeriksaan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Serendah mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia.
“Isteri lelaki terbabit juga mengesahkan dia menghidap penyakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Arsad berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk ujian saringan COVID-19 dan bedah siasat.
“Hasil ujian saringan dilakukan mendapati lelaki itu negatif COVID-19 dan pihak doktor mengesahkan punca kematian disebabkan sakit jantung kronik (coronary artery disease).
“Siasatan awal pihak polis juga mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian lelaki berkenaan yang tular di media sosial.
Sumber : Astro Awani

About admin

Check Also

Kes Basik4l Lajak: Kerani Wanita Dibeb4skan Dengan Jamin4n Sementara Rayuan Didengar

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) — Seorang kerani wanita yang ditahan di penjara atas kesalahan memandu …

Leave a Reply

Your email address will not be published.